Thursday, May 4, 2017

Jabatan Pertanian edar risalah mengenai harumanis

harumanis

KANGAR - Sebanyak 4,000 risalah mengenai cara mengenal dan memilih mempelam harumanis disediakan oleh Jabatan Pertanian Perlis untuk diedarkan kepada orang ramai mula hari ini.

Pengarahnya, Zulkefli Amin Mat Jusoh berkata, risalah tersebut diletakkan di Jabatan Pertanian Bukit Temiang di Jalan Kaki Bukit dan Pusat Pertanian Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat di sini sebagai rujukan agar pembeli tidak tersilap atau ditipu oleh penjual yang tidak jujur.

Katanya Jabatan Pertanian juga akan meletakkan risalah berkenaan di dalam kotak khas di Terminal Feri Kuala Perlis sebagai panduan kepada orang ramai dan pelancong yang datang dan mahu membeli harumanis.

"Setiap kali musim harumanis, keterujaan menikmati buah yang menjadi ikon negeri ini selalunya menyebabkan pembeli kecewa kerana tersalah beli atau tertipu dengan pelbagai jenis mangga lain yang menggunakan nama harumanis Masak, harumanis Thailand, harumanis Tipu dan sebagainya.


"Tidak dapat dinafikan ada sikap segelintir penjual yang tidak jujur ini mengundang tanggapan salah terhadap penanam harumanis di negeri Perlis sekali gus menjejaskan nama eksklusif harumanis itu sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru itu dengan sedikit pemahaman dan pengetahuan mengenai ciri-ciri harumanis yang disediakan secara bertulis menerusi risalah diedarkan diharap dapat menjadi panduan berguna kepada pembeli.

Zulkifli berkata, risalah itu mengandungi tip dan ilustrasi bergambar mengenai ciri-ciri harumanis asli antaranya pangkal tangkai buah yang berlekuk, bahu buah yang meninggi, bentuk membulat dan tidak terlalu bujur atau tirus, penuh dan sedikit berparuh. (hujung bucu buah)

Harumanis juga mempunyai bau harum dan aroma manis yang berbeza dari mangga biasa selain berwarna hijau tua dan kulit kelihatan agak berdebu, katanya.

"Jika ada sedikit pengetahuan tentang ciri-ciri harumanis, sudah tentu kita tidak mudah ditipu dengan taktik penjual yang tidak jujur dan mengaburi pembeli," katanya.

Beliau turut menasihatkan pembeli agar lebih berhati-hati sebelum membeli harumanis terutama jika buah bersaiz besar dengan cara menyentuh pada bahagian bawah hujung buah untuk memastikan ia tidak rosak.

"Ini kerana kita mengesan harumanis mula diserang penyakit Insidious Fruit Rot (IFR) yang menjadikan isi buah mereput dan lembik tetapi di luar kulit tidak kelihatan sebarang kerosakan.

"Harumanis yang diserang IFR hanya sesuai dibuat jus sahaja dan tidak sesuai dimakan begitu sahaja," katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment